Insurans
Insuran, dalam perundangan dan ekonomi, adalah satu bentuk pengurusan risiko terutamanya digunakan bagi jaminan terhadap risiko kemungkinan kerugian kewangan. Insuran ditakrifkan sebagai peralihan sama rata risiko atau kemungkinan kerugian, daripada satu entiti kepada yang lain, sebagai pertukaran untuk bayaran dan tugas bagi penjagaan dan difikirkan sebagai satu jaminan dan diketahui kerugian yang kecil untuk mengelakkan satu kerugian yang besar, kemungkinan yang mendatangkan kebinasaan (kemusnahan).
Prinsip Insuran
Tempoh atau berlakunya kerugian mesti pasti.
Kadar kerugian mestilah boleh dijangka: Agar dapat menetapkan
premium (harga) yang menjamin dan mampu menganggar risiko dengan tepat.
Sekiranya perlindungan itu unik, pemegang insuran akan membayar premium yang
tinggi yang lebih seimbang.
Kerugian mesti boleh dijangka pada tahap makro: Pengeluar
insurans perlu tahu berapa banyak yang mereka perlu bayar apabila kejadian yang
dilindung berlaku. Kebanyakan jenis insurans mempunyai tahap maksima bayaran,
tetapi bukan semuanya ada, terutama insuran kesihatan.
Kerugian mestilah banyak: Prinsip perundangan De minimis menetapkan bahawa
perkara remeh tidak akan dilindungi. Tambahan lagi, pengambil insuran yang
rasional (rational insurance)
menggunakan insuran sedia ada apabila kos transaksi menetapkan bahawa mengisi
tuntutan adalah tidak masuk akal.
Kerugian mestilah bukannya melapetaka: Sekiranya pengeluar
insuran muflis (insolvent), ia tidak akan mampu membuat pembayaran
kepada pengambil insuran. Di Amerika Syarikat, terdapat sistem Jaminan Dana
yang kurang diketahui ramai untuk melindungi mereka yang syarikat insuran telah
menjadi muflis. Program ini dikendalikan oleh National Association of
Insurance Commissioners (NAIC).
Jaminan Ganti Rugi (Indemnity)
Sebarang entiti yang cuba mengalih risiko (perseorangan,
korporat, atau sebarang bentuk persatuan) menjadi pihak ‘pengambil insurans’
sebaik sahaja risiko diambil alih oleh ‘pengeluar insuran -insurer’, pihak
pembeli insuran menurut kontrak, ditakrifkan sebagai ‘polisi’ insuran. Kontrak
perundangan ini menyatakan syarat dan terma (terms and conditions) menyatakan
jumlah perlindungan (ganti rugi) yang akan diberikan kepada pembeli insuran,
oleh pengeluar insuran sebaik sahaja menanggung risiko, sekiranya berlaku kerugian,
dan kesemua bencana yang dilindungi (jaminan ganti rugi), bagi tempoh kontrak.
Apabila pihak pembeli insuran mengalami kerugian bagi bencana
khusus, jaminan tersebut memberi hak kepada pemegang polisi bagi membuat
‘tuntutan’ terhadap pemberi insuran bagi jumlah yang ditetapkan oleh kontrak
polisi. ‘Yuran’ yang dibayar oleh pembeli insuran kepada pemberi insuran bagi
menangung risiko dikenali sebagai ‘premium’. Permium insuran daripada ramai
pelanggan digunakan bagi membiayai akaun dana yang diketepikan bagi pembayaran
tuntutan akan datang – secara teori bagi sejumlah kecil penuntut – dan bagi kos
overhead. Selagi pembekal insuran mengekalkan dana mencukupi yang diketepikan
bagi kerugian yang dijangkakan, perbezaan baki menjadi untung sesebuah syarikat
insurans itu.
Objektif insurans dapatlah diungkapkan sebagai golongan ramai
yang bernasib baik membantu golongan yang tidak bernasib baik. Sememangnya
objektif tersebut adalah diiktiraf oleh Islam. Al-Quran dalam surah al-Maaidah,
ayat 2, secara terangnya turut menyatakan galakan oleh Allah kepada manusia
untuk mengamalkan sikap tolong-menolong, bermaksud:
“Dan
hendaklah kamu tolong menolong di atas perkara kebaikan dan taqwa dan janganlah
kamu tolong menolong di atas perkara dosa dan permusuhan”.
Apa yang menjadi
persoalannya ialah apakah ciri utama yang membezakan takaful dan insurans
konvensional?
Takaful berasal dari perkataan arab “kafala” yang membawa maksud
untuk membantu atau untuk menjamin. Ia merupakan satu konsep Insuran dengan
pendekatan Islam yang berasaskan syariah. Konsep ini telah
dipraktikkan lebih dari 1400 tahun yang lalu. Takaful adalah Insurans
yang berkonsepkan Shariah di mana sekumpulan ahli bersetuju untuk membantu
antara satu sama lain dari ancaman resiko dengan memberi sumbangan atau
dikenali sebagai tabarru’.
Asas kepada konsep Takaful :
-Jaminan bersama di mana semua pihak yang terlibat bersetuju
memberi jaminan akan membantu antara satu sama lain.
-Bantuan akan disalurkan dari dana yang terkumpul ( tabarru’
fund) untuk menanggung kerugian atau musibah yang di hadapi oleh ahli
mereka.
-Persetujuan ini dibuat dengan akad yang sah di sisi shariah.
Secara teorinya takaful dikenali sebagai kerjasama atau jaminan
bersama di mana ahli memberi sumbangan ke satu tabung sebagai persediaan untuk
membantu mereka yang akan di timpa kemalangan atau musibah nanti.
Insurans biasa diharamkan oleh ulama’ kerana ia mengandungi
unsur berikut :
Riba’ : Bermaksud
penambahan nilai ke atas sesuatu pinjaman yang disyaratkan oleh pemberi
pinjaman atau dijanjikan oleh penerima pinjaman manakala dalam pertukaran
sesetengah barangan dan matawang, ia bermaksud perbezaan nilai akibat kuantiti
yang berbeza ataupun perbezaan waktu pertukaran
Gharar : Bermaksud ketidakpastian. Maksud
ketidakpastian dalam urus niaga muamalah ialah “terdapat sesuatu yang ingin
disembunyikan oleh sebelah pihak dan boleh menimbulkan rasa ketidakadilan serta
penganiayaan kepada pihak yang lain”.
Maysir : Bermaksud judi. Maysir
(Judi) dalam kontrak insurans wujud bilamana peserta membayar premium yang
kecil dengan mengharapkan wang yang lebih besar jumlahnya, peserta hilang wang
premium apabila peristiwa ingin dilindungi (the insured event) tidak berlaku
dan Syarikat akan rugi jika terpaksa membayar tuntutan yang melebihi jumlah
premium yang diterima
Takaful
Para ulamak telah sepakat memutuskan Takaful sebagai ganti
kepada Insurans Konvensional. Dasar Tabarru’at menjadi teras utama yang membina
paksi Takaful. Penggunaan dasar ini turut menyelamatkan pengurusan Takaful
untuk seiring dengan keredhaan Syarak dalam soal Muamalah Islam. Dengan
penggunaan Tabarru’at ini maka Takaful terselamat dari terkena unsur gharar dan
maysir.
Takrif Tabarru’at
Tabarru’at merupakan perkataan Arab
yang bermaksud menderma secara ikhlas. Dalam konteks perniagaan Takaful, setiap
peserta yang ingin mendapatkan perlindungan Takaful mestilah hadir dengan niat
yang ikhlas untuk menderma bagi membantu para peserta yang lain jika mereka
menghadapi musibah. Dalam erti kata yang lebih tepat ialah, semua peserta
tersebut bersetuju untuk saling membantu dikalangan mereka di atas niat yang
sama.
Penegasan ini dapat dilihat dari fatwa oleh Dr. Yusuf
Al-Qardhawi yang menegaskan insurans Islam boleh diadakan dengan syarat setiap
peserta menderma di dalam satu tabung untuk membantu sesama mereka.
Hari ini, kebanyakan syarikat yang menjalankan Takaful adalah
terlibat dengan dunia perniagaan. Oleh itu Tabarru’at yang bersyarat,
diperkenalkan di mana setiap peserta yang ingin menyertai takaful mestilah
menderma sesuai dengan risiko yang dibawanya. Syarikat terpaksa menetapkan
kadar Tabarru’at kerana ingin memastikan Tabung Tabarru’at yang disertai oleh
semua peserta tidak terjejas bagi memberi keadilan kepada semua pihak. Justeru
itu, jika seseorang peserta membawa risiko yang besar maka kadar tabarru’at
yang mesti disumbangkan mestilah sepadan dengan risiko tersebut.
Terdapat juga sesetengah pendapat yang merasakan penggunaan
istilah Tabarru’at adalah tidak tepat kerana amalannya adalah berbeza dengan
maksudnya yang bererti peserta tidak boleh disyaratkan jumlah pembayaran kerana
ia adalah ikhlas semata-mata. Namun dengan operasi dan mekanisma yang digunakan
dalam industri Takaful, diharapkan ia tidaklah dijadikan isu yang besar.
Penggunaan Tabarru’at yang menjadi dasar Takaful telah berjaya
melahirkan satu Insurans Islam yang tidak bercanggah dengan Syarak. Unsur-unsur
Gharar dan Maysir telah dapat dihapuskan dengan kewujudan dasar tersebut.
0 comments :
Post a Comment